Taubat Seorang Peminum Arak.
Pada suatu hari, Khalifah Umar ibnu Khattab berjalan-jalan di lorong-lorong dalam kota Madinah. Apabila sampai di persimpangan jalan, beliau terserempak dengan seorang pemuda yang membawa kendi. Ini menimbulkan syak wasangka Umar terhadap pemuda itu.
Lantas Umar menyoal pemuda itu: "Apa yang engkau bawa itu?"
Dalam keadaan ketakutan pemuda itu terketar-ketar menjawab: "Madu, wahai Umar." Sebenarnya pemuda itu sedang membawa kendi arak.
Selepas berkata demikian, timbul perasaan insaf dihatinya untuk bertaubat dari meminum arak. Dia menyesal melakukan perbuatan yang ditegah agama. Dia benar-benar berharap sambil berdoa supaya Khalifah Umar tidak memeriksa isi kendi itu.
Namun Khalifah Umar tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pemuda itu, lalu mengambil kendi itu untuk diperiksa.
Doa pemuda itu dimakbulkan oleh Allah SWT apabila diperiksa, Baginda Umar dapati di dalamnya terdapat madu. Allah SWT telah menukarkan arak tersebut menjadi madu. Dengan demikian pemuda itu terselamat dari tindakan Khalifah Umar.
Semenjak dari peristiwa itu, pemuda itu telah bertaubat dan berjanji tidak akan meminum arak lagi.
MORAL
Allah SWT sentiasa memperkenankan doa orang yang bertaubat dengan ikhlas kepadaNya. Setiap pemimpin mestilah bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan oleh rakyat yang dipimpinnya. Setiap pemimpin akan disoal mengenai kepimpinannya. Kebajikan yang dibuat dengan ikhlas kepada Allah menghapuskan dosa kejahatan yang dibuat sebelumnya, InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment